BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

My Little Prince


30 December 2011

Diet Selepas Bersalin: Pengalaman Ibu Malaysia

Adakah diet dalam pantang tradisional yang diamalkan oleh ibu-ibu Malaysia benar-benar membantu?

Banyak tenaga dan kekuatan tenaga simpanan dalam tubuh ibu telah digunakan selepas bersalin. Oleh demikian, diet seseorang ibu selepas bersalin adalah penting untuk membantunya sembuh kembali dan pulih daripada kepenatan bersalin, dan juga untuk penghasilan susu ibu.

Kebanyakan ibu-ibu Malaysia mematuhi peraturan berpantang tradisional turun temurun. Budaya berlainan mempunyai pilihan makanan berpantang mereka sendiri. Bacalah untuk mengetahui pendapat pakar tentang sesetengah diet ini.
Jamu (herba, akar dan rempah ubatan)

Pandangan tradisional: Jamu membantu memanaskan tubuh ibu, meningkatkan aras tenaga, menghilangkan lemak dan toksin berlebihan daripada tubuh, serta mengecutkan rahim. 
Kata doktor: Buat masa ini, tiada kajian atau bukti terperinci yang membuktikan manfaat pengambilan Jamu selepas bersalin, tetapi para pakar bersetuju bahawa aroma Jamu sememangnya menenang dan menyamankan apabila disapu di seluruh tubuh. Bagi Jamu yang diambil secara oral, utamakan kualiti dan kebersihan Jamu bagi mengelakkan kesan sampingan yang tidak diingini.
Halia

Pandangan tradisional: Halia dianggap makanan yang “memanaskan”; ia membantu menggalakkan peredaran darah, mencegah atau melegakan angin dan menguatkan sendi. 
Kata doktor: Walaupun kajian menunjukkan bahawa halia mungkin boleh mengurangkan rasa loya dan muntah semasa hamil, namun tiada kajian yang telah menyokongnya sebagai makanan yang “memanaskan”. Anda boleh menggunakan halia sebagai rempah dalam makanan berpantang tetapi pengambilan berlebihan mungkin boleh mengakibatkan ibu melepaskan “angin”. Percayalah, angin ini bukan daripada sendi atau kepala ibu yang baru lepas bersalin dan tiada kaitan dengan sebarang sakit belakang atau sakit sendi di masa hadapan.
Ikan Haruan

Pandangan tradisional: Sup ikan daripada ikan haruan segar mempunyai ciri merawat yang menggalakkan penyembuhan luka dalaman, terutama sekali wanita yang telah menjalani pembedahan Caesarean. 
Kata doktor: Kajian menunjukkan bahawa ikan haruan mengandungi asid amino dan asid lemak tertentu yang penting untuk penyembuhan kecederaan. Secara amnya, makanan berprotein tinggi (seperti ayam itik, daging tanpa lemak, ikan dan produk tenusu) boleh mempercepatkan penyembuhan luka atau kecederaan. Ibuibu baru perlu memastikan pengambilan pelbagai jenis makanan sumber protein untuk membantu mereka pulih dengan segera.
Herba Cina

Pandangan tradisional: Sup herba disediakan menggunakan herba Cina tradisional tertentu, seperti kurma merah, kei zhi (wolfberry) dan dong guai (angelica), yang dikatakan boleh membantu menyihatkan darah, merawat simptom selepas bersalin seperti discaj yang berpanjangan dan membaiki tahap tenaga.
Kata doktor: Tiada bukti kukuh yang menunjukkan bahawa herba Cina akan memanfaatkan ibu selepas bersalin, tetapi kajian telah menunjukkan bahawa herba-herba ini bersifat antioksidan. Kesan sedemikan mungkin boleh membantu menggalakkan penyembuhan tisu dan menguatkan sistem imun. Namun demikian, janganlah mengambil herba sehingga keterlaluan kerana antioksidan seperti vitamin C dan E boleh diperolehi secara semulajadi daripada buah-buahan dan sayuran.
Sayuran Labu (seperti labu botol dan timun Jepun)

Pandangan tradisional: Membantu meningkatkan pengeluaran susu ibu. 
Kata doktor: Tiada makanan khusus yang boleh meningkatkan pengeluaran susu ibu. Namun demikian, bagi memastikan pengeluaran susu yang berterusan, minumlah cecair yang mencukupi untuk mengganti semula cecair yang hilang daripada tubuh anda. Anda juga perlu makan dan rehat dengan sempurna supaya mempunyai tenaga untuk penghasilan susu yang optimum. Yang paling penting, teruskanlah penyusuan susu ibu.

Perhatian, Ibu-ibu Baru!
Tidak kiralah diet pantang mana yang anda ikuti semasa berpantang, pastikan anda makan diet yang berkhasiat dan seimbang bagi memastikan pengambilan nutrien yang optimum.
• Pentingkan diet yang mengandungi protein berkualiti daripada ikan, ayam itik, daging merah dan legum.
• Pastikan pengambilan kalsium yang mencukupi, daripada susu dan produk susu, terutamanya jika anda menyusu susu ibu.
• Tambah pengambilan makanan berserat ke dalam diet anda dengan mengambil lebih banyak buahbuahan dan sayuran segar bagi mengelakkan sembelit.
• Jika anda rasa anda menghadapi kesulitan untuk menyediakan makanan yang berkhasiat untuk diri sendiri, pertimbangkanlah untuk mengambil supplemen vitamin dan mineral dalam diet anda.
• Elakkan kafein, alkohol dan nikotin jika anda menyusu susu ibu.

0 comments: